Misteri Keris Melekat Pada Akar Kayu

| October 19, 2012

Melayukini.net – Misteri Keris Melekat Pada Akar Kayu  | Keris merupakan senjata orang Melayu dahulu kala yang dipercayai digunakan oleh pahlawan di zaman kesultanan Melayu dahulu.  Namun terdapat satu kes seperti agak sukar dipercayai, tetapi itulah yang didakwa oleh  seorang pengamal perubatan kerana terkejut menemui sebilah keris lama berukuran 15 sentimeter (cm) terlekat pada akar sebatang pokok yang dicabutnya untuk tujuan perubatan di kawasan semak di belakang perumahan penduduk di Kampung Bagan Ajam.

Nasir Othman, 65, yang juga pesara tentera sering menjadikan kawasan berkenaan untuk mendapatkan pokok kucing galak yang dijadikan ubat merawat pelbagai penyakit kucing sejak lima tahun lalu.

Lebih mengejutkan, katanya, keris dengan anggaran berat 10 gram itu amat sukar dipisahkan dari akar Pokok berkenaan.

“Jika nak diikutkan akar pokok ini sepertimana pokok renek lain yang mudah putus apabila ditarik kerana ia bersaiz kecil, namun usaha saya memisahkan keris dari akar pokok ini selepas menemuinya, semalam, menjadi sukar.

“Sebagai orang lama yang turut mengamalkan perubatan tradisional, saya tahu keris yang dianggarkan berusia puluhan tahun ini agak ‘keras’ dan istimewa,” katanya.

Nasir yang pernah berkhidmat dalam angkatan tentera laut berkata, penemuan keris berlok tiga itu turut menimbulkan misteri pada dirinya, kerana sebaik dibawa pulang dan dibasuh kesihatan dirinya tiba-tiba berubah.

“Selesai membasuhnya dan sewaktu hendak dilap menggunakan kain kepala saya tiba-tiba terasa berat sebelum pening dan rasa nak muntah serta hampir pitam.

“Menghairankan, keris itu tiba-tiba kering dan turut menitiskan air dari hujungnya, walaupun lekuk dan loknya tidak ada tempat simpanan air,” katanya.

Nasir, yang mempunyai sedikit pengetahuan berkaitan penjagaan barangan misteri kemudiannya mendapatkan sehelai kain kuning untuk membalut keris itu.

“Sebaik dibalut, air titisan itu berhenti dan kesihatan saya kembali normal membuatkan saya beranggapan keris ini sememangnya istimewa dan perlukan penjagaan rapi.

“Sejak malam semalam, sebaik penemuannya diketahui umum, rumah saya mula dipenuhi orang ramai yang ingin melihatnya. Malah ada antara mereka sanggup menawarkan harga tinggi untuk memilikinya,” katanya yang tidak berhajat menjualnya.

Menurutnya, dia juga mengalami mimpi buruk semalam apabila diingatkan berkali-kali oleh satu suara ghaib supaya menyimpan keris itu dengan baik dan tidak menyalah gunakannya.

“Sebaik terjaga, jantung saya berdegup kencang, manakala hampir keseluruhan tubuh dibasahi peluh menyebabkan cadar yang dijadikan alas katil turut basah.

“Kejadian pelik sebaik keris itu ditemui merupakan kali pertama dialami dan saya percaya ia ada kena mengena dengan senjata penting yang digunakan oleh anggota masyarakat terdahulu ini,” katanya.

Katanya, dia akan menyimpan keris itu dan tidak menolak kemungkinan ia boleh digunakan sebagai antara peralatan penting semasa menjalankan perubatan tradisional terhadap pelanggan yang datang berubat dengannya selepas ini.

Melayukini.net – Pelik sungguh dan misteri keris ini. Seperti ia ada penunggu pula. Mungkin lelaki ini berani mengambil risiko untuk menyimpan keris ini dan menjaganya dengan penuh amanah seperti yang dipesan oleh seseorang dalam mimpinya. Sukar untuk kita percaya, namun alam ini semua adalah cerita alam ghaib. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya.

P.S. I – 6 Tempat Paling Best di Jepun!
P.S. II – 10 Tempat Eco Paling best di UK
P.S. III – Tasik Ais Gergasi Dijumpai Saintis di Marikh

Sumber: Sinar Harian | Layari Berita Tempatan Informasi Malaysia Kini

PALING POPULAR BULAN INI .. JOM BACA !!

Tags: , , , , , , , , , , , , , ,

Category: Tempatan

About the Author ()

Comments are closed.